Skip to main content

Kemandulan minda DBP

Kemandulan minda Dewan Bahasa dan Pustaka yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Gerik, Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh telah menarik perhatian dan pandangan pelbagai pihak terutamanya pihak-pihak yang berkaitan dengan dunia Bahasa Melayu. Agak keterlaluan juga kritikan yang dilontarkan oleh Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh itu namun kritikan yang dilontarkan kena pada waktunya. Adalah lebih baik "Kemandulan Minda Dewan Bahasa Dan Pustaka diperkemaskan menjadi "Ketumpulan Minda Dewan Bahasa Dan Pustaka."

Dewan Bahasa Dan Pustaka merupakan organisasi rasmi dibawah kelolaan kerajaan yang bertanggungjawab dalam memartabatkan Bahasa Melayu. Semangat Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) yang dibina pada tahun 1956 telah mulai malap dan tiada langkah pemantapan semula diambil untuk dilaksanakan. Ketumpulan minda Dewan Bahasa Dan Pustaka sebenarnya adalah kesan secara langsung daripada dasar-dasar yang digubal oleh kerajaan. Dasar yang digubal oleh kerajaan sememangnya berlandaskan tuntutan keadaan semasa tetapi tidak mengambil kira kesan dan implikasi sama ada dalam jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang.

Setiap dasar-dasar yang digubal oleh kerajaan sememangnya memberi kesan kepada unit-unit yang berperanan sebagai pelaksana dasar. Dasar-dasar yang digubal sudah tentu meliputi ruang sosial, ekonomi, dan ruang politik. Setiap ruang ini sentiasa berindih antara satu sama lain-sosial, ekonomi, dan politik saling berkait rapat dan memenuhi antara satu sama lain disamping bertindak sebagai pelengkap sama ada dalam jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang.

Apabila satu-satu dasar hendak digubal sebelum perlaksanaannya dilaksanakan, para penggubal umumnya mengambil kira faktor-faktor yang berkaitan sama ada pada sudut mikro mahupun sudut makro. Pada tahap inilah para penggubal dasar berdebat antara satu sama lain atau lebih dikenali sebagai proses atau tahap "kilang buih mulut." Penggubal yang ketandusan fikir dan ilmu atau tidak mampu berfikir secara kritikal, analitikal, lateral, dan "investigative" sudah tentu kecundang di dalam arena kilang buih mulut. Penggubal yang sebaliknya pula sudah tentu akan mendapat "token" dan menjadi sandaran atau "ayam tambatan." Namun demikian dasar-dasar yang digubal masih lagi tidak mencapai tahap sekadar baik atau sempurna sepenuhnya dan akhirnya memberi implikasi kepada seluruh warganegara yang bergelar rakyat marhaen dan rakyat.

Dasar-dasar yang digubal ini adakalanya membawa kenegatifan dalam jangka masa "zaman berzaman." Maka tidak menakjubkan apabila dasar-dasar yang telah digubal oleh penggubal - penggubal handalan lagi teoritis gagal dilaksanakan. Prof Emeritus Dr. Khoo Kay Kim seorang sejarawan yang prominen di Malaysia pernah menyatakan secara ikhlas dan sinis yang mana para pembuat atau penggubal dasar tidak tahu apa yang hendak dicapai dalam dasar yang dibuat. - (DPN 2006 - 2010)

Kesan dan implikasi daripada dasar-dasar yang telah dibuat akhirnya memberi masalah yang berakar terhadap haluan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dewan Bahasa dan Pustaka kini sudah tidak dapat memperkaya Bahasa Melayu kepada bahasa yang bersifat menyeluruh dan meluas akibat terjahan legasi tinggalan imperialis sekularis Inggeris yang dipangkuankan kerajaan pemerintah. Dewan Bahasa dan Pustaka hanya mampu memperkaya Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia. Maka penggunaan slogan "bahasa jiwa bangsa" tidak membawa apa - apa makna kepada Malaysia tetapi amat bermakna kepada Orang Melayu. Sebagai satu organisasi yang profesional dan tidak emosional, Dewan Bahasa dan Pustaka perlu mengatur perancangan dan strategi yang ampuh untuk pengukuhan dan pengayaan Bahasa Melayu mengikut acuan semangat Bahasa Melayu yang telah bertunjang di Nusantara yakni alam Melayu.

Disamping itu Dewan Bahasa dan Pustaka tidak perlu gentar kepada badut-badut sang penguasa yang ingin memperkelasduakan bahasa Melayu dan memperkelas-satukan bahasa Inggeris. Sekiranya Dewan Bahasa dan Pustaka akur kepada kemahuan badut-badut sang penguasa dan penguasa sendiri maka janganlah Dewan Bahasa dan Pustaka menggigit jari dan berlagu sepi pada suatu masa nanti apabila Bahasa Melayu terkubur di tanah kelahirannya sendiri. Sekalung bunga tahniah harus diberikan kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) Johor yang terus berjuang dan lantang dalam menegakkan bahasa Melayu di bumi Melayu.

Bahasa merupakan alat komunikasi yang amat penting dimiliki oleh sesiapa sahaja. Tanpa bahasa sudah tentu komunikasi tidak boleh berlaku. Namun demikian pengagungan bahasa asing perlu dielakkan. Pengagungan bahasa asing adalah satu siri penghakisan dan pengkhianatan warisan bangsa dan akhirnya jadilah "Melayu muda lupa." Di negara-negara maju seperti Jerman dan Jepun umpamanya bahasa asing dijadikan bahasa kelas dua bukannya bahasa kelas satu. Walaupun warganya mampu bertutur lebih daripada dua atau tiga bahasa tetapi warganya tetap mengutamakan bahasa ibunda dalam semua segi yang melibatkan bahasa.

Disamping itu badan-badan organisasinya yang berperanan sebagai dewan bahasa dan pustaka sentiasa memperkaya bahasa dengan kesungguhan yang tiada tandingan walaupun wujud campur tangan pihak-pihak yang berkepentingan sama ada secara langsung dan tidak langsung. Inilah sikap dan semangat organisasi yang harus dan perlu dicontohi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seandainya ingin melihata bahasa Melayu terus berkembang mekar sampai bila-bila dan menjangkaui sempadan geografi benua.

Kemandulan atau ketumpulan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bukan hanya membawa kemusnahan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka itu sendiri tetapi membawa kemusnahan kepada mereka-mereka yang menggelarkan diri sebagai "Orang Melayu totok alias tulen." Hari ini sudah jelas menunjukkan kepenggunaan Bahasa Melayu mengalami kelumpuhan terutamanya di ruang-ruang penggunaan Bahasa Melayu. Sedangkan golongan-golongan terpelajar sama ada aliran Melayu mahupun aliran Inggeris yang ada di dalam organisasi Dewan Bahasa dan Pustaka sudah tidak dapat berbuat apa-apa bentuk usaha dalam memartabatkan Bahasa Melayu. Oleh yang demikian perlunya unit-unit yang ada di dalam organisasi Dewan Bahasa dan Pustaka ini mencatur strategi dan perancangan yang rapi untuk memperkaya dan mengukuh bahasa Melayu agar Dewan Bahasa dan Pustaka "tidak mandul minda" lagi.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.