Skip to main content

Umno ialah kerajaan....kerajaan adalah Umno

Apabila PRU ke-12 diumumkan nanti maka Umno ialah sebuah parti politik kebanggaan Melayu Islam dan selepas tamatnya PRU ke-12 Umno menjadi sebuah kerajaan yang dipimpin dan ditadbir oleh Melayu. Itulah Umno, mempunyai dua wajah iras yang sekembar kepala keretapi yang boleh dirumuskan menjadi formula 2 dalam 1. Formula 2 dalam 1 yang digunaamalpakai sejak berpuluh tahun telah menjadi asas untuk terus berkuasa dengan bermodalkan retorika dari rakyat kepada rakyat untuk rakyat.

Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung di PWTC baru-baru ini telah menggegarkan rumah keramat Umno sehingga mata yang lekat dan telinga yang pasang kaku membatu. Golongan elit Umno terus berkokok untuk membela nasib Melayu yang selama ini tidak terbela. Keris lok 7 dijulang, kata diucap berdegar-degar, simbol buku lima dijulang dan tidak ketinggalan juga golongan Puteri Umno yang diketuai oleh 'puteri usia 40++' (lebih sesuai bergelar permaisuri atau ratu') melalak dan mencipta suasana riuh dan heboh seperti baru mendapat semangat perjuangan dari PM Abdullah pengasas Hadhari (had + hari = keupayaan sang pemimpin yang mempunyai Had dan menunggu Hari untuk 'Undurlah').

Lalak mereka (golongan elit Umno) adalah tidak lain dan tidak bukan ialah mendesak dan menyeru kerajaan peka dan membela nasib orang Melayu yang telah ketinggalan jauh jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain. Apakah mereka ini tidak sedar dengan apa yang mereka desak dan seru? Bukankah presiden Umno dan timbalan presiden Umno merupakan orang yang menduduki kerusi 1 dan kerusi 2 dalam hierarki kabinet dan mentadbir kerajaan?

Bukankah sesetengah penjawat jawatan dalam Umno merupakan penjawat jawatan menteri dan timbalan menteri dalam kabinet dan pentadbiran kerajaan? Mereka ini boleh dan layak digelar orang yang tahu dan faham akan sesuatu tetapi pada masa yang sama mereka ini tidak tahu dan tidak faham apa yang mereka tahu dan faham. Boleh juga diumpamakan seperti burung kaka tua yang pintar berkata-kata tetapi tidak tahu apa yang dikata.

Perbuatan mereka yang mendesak dan menyeru kerjaan dalam perhimpunanan agung Umno adalah perbuatan yang tidak membawa apa-apa melainkan mereka itu bukan "orang Umno." Perbuatan mendesak dan menyeru kerajaan lebih baik dilakukan oleh ahli politik parti pembangkang, pejuang maya (bloggers), penulis bebas dan sesiapa saja yang inginkan sesuatu yang telus berlandaskan "bersih, cekap, dan amanah."

Semasa perhimpunan agung Umno berlangsung para sidang wazir Umno termasuk presiden Umno seperti mengiakan apa yang didesak dan diseru oleh sang pelalak. Seoalah wujud satu konspirasi putar belit untuk menutup sindrom bisu diam dalam organisasi Umno. Nampaknya mereka hanyalah sang badut yang diarah untuk berbuat demikian untuk memancing sinar publisiti di bawah paras murah untuk dijadikan sebagai modal untuk berkuasa selama lima tahun lagi tanpa menghiraukan nasib orang Melayu yang tidak terbela selama ini.

Apa yang jelas ialah Umno ialah kerajaan dan Kerajaan adalah Umno. Sesiapa yang menentang Umno walaupun untuk kebaikan akan dianggap sebagai penentang kerajaan (imbas kembali kes Raja web Malaysia, Raja Petra Kamaruddin). Benarlah kata-kata Tun Dr. Mahathir bahawa orang Melayu kini berada dalam keadaan dilemma untuk mengundi Umno pada pilihan raya umum.

Umno kini jelas menyimpang jauh daripada landasan penubuhannya. Implikasinya kerajaan yang dipimpin oleh penguasa kini berada dalam keadaan ibarat telur dihujung tanduk yang menanti masa untuk jatuh berkecai seperti telur busuk. Moga dengan keizinan Allah S.W.T, orang-orang besar Umno sedar dan insaf akan kesilapan mereka dan sedar Umno ialah kerajaan dan kerajaan adalah Umno dimana hanya Umno menjadi tempat orang Melayu mengadu nasib yang selama ini tidak terbela akibat perbuatan pemimpin-pemimpin Melayu sendiri.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.