Skip to main content

Dr. Mohd. Asri: Berpendirian neutral atau berpolitik?

“Saya malu apabila 'orang agama' bertindak secara terbuka 'seakan' menghalang perkembangan Islam. Saya sedih apabila senjata kuasa digunakan untuk 'memerangi' golongan agama. Di kala umat sedang kehausan ilmu dan bimbingan, lalu diletakkan seribu halangan untuk insan muslim menyebarkan dakwah. Saya berfikir betapa sukar hendak menunaikan arahan Nabi SAW: Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat. (Riwayat al-Bukhari).”

- Dr. Mohd. Asri

Presiden Amerika Syarikat pertama, George Washington (1732-1799), pernah mengungkap bahawa "sebaik-baik cara mengekalkan keamanan adalah dengan berperang." Mungkin ada kebenarannya ungkapan George Washington itu terutamanya dalam keadaan situasi yang tertentu seperti berlakunya penindasan pihak “kuat” (merujuk kepada pihak yang berkuasa) ke atas pihak “lemah” (merujuk kepada pihak yang tidak berkuasa). Konotasi daripada ungkapan George Washington itu mungkin boleh diungkapkan bahawa “sebaik-baik cara menyebarkan dakwah di laluan seribu halangan adalah dengan berpolitik.”


Dr. Mohd. Asri merupakan individu yang provokatif, agresif, dan lantang bersuara menentang tradisi Islam konservatif keMelayuan yang sangat tebal di negara ini; (1) kesan daripada tradisi belajar agama yang lemah dan cara berfikir agama yang tidak mempunyai sandaran atau fakta sama ada daripada nas Al-Quran, As-Sunnah atau logik yang kuat, dan (2) kesan daripada para agamawan yang dogmatik, taklid mazhab, mempersembahkan agama secara tidak logik, khurafat, khayal, dongeng para wali, mimpi, peristiwa karut, jampi serapah, rumusan hukum hakam yang keras dan amalan fekah yang kompleks dan menyimpang.

“Dr. Asri berjuang kerana Al-Quran dan sunnah Rasulullah, bukannya berjuang kerana jawatan dan kedudukan begitulah pengakuannya yang amat berat untuk memikul tanggungjawabnya sebagai Mufti apabila ditawarkan kepadanya sebagaimana katanya dalam majlis ilmu yang saya hadiri baru-baru ini.”

- Nik Nizam Shah Nik Azhar (Milenia Muslim, 2007)

Dalam menyebarkan ilmu dan dakwah di samping menegak dan mengembalikan ajaran Islam yang sebenar berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah ia boleh dilaksanakan sama ada melalui kaedah neutral atau politik selagi kedua-dua kaedah tersebut menjadi pilihan yang terbaik sekiranya wujud seribu halangan di hadapan. Namun, dalam keadaan dimana ilmu seringkali diatasi dan “diterungku” oleh kuasa pihak yang berkuasa, berpolitik adalah jalan terbaik untuk menegakkanya. Walau bagaimanapun, kedua-dua kaedah ini yakni kaedah neutral dan politik akan tetap berhadapan dengan cabaran dan dugaan yang tidak dapat dielakkan.

Cabaran dan dugaan yang akan dihadapi dalam menyebarkan ilmu, dakwah, dan menegakkan syiar Islam jika kaedah neutral digunapakai ialah kuasa, lebih-lebih lagi dalam keadaaan dimana pihak yang berkuasa tidak tahu menggunakan kuasa walaupun berkuasa; kesan daripada pertindihan kuasa dengan pihak-pihak lain yang mempunyai kuasa setara atau simetri. Ini sebenarnya telah berlaku dan menjadi kontroversi semasa timbulnya isu gejala murtad yang ditimbulkan oleh Mufti Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, pada 2006 yang lalu.

“Saya telah sampai perkara ini kepada orang atasan. Tuan-tuan tahu bukan? Saya telah mengadap Majlis Raja-Raja dua kali. Dan saya telah sampai perkara ini. Cuma raja-raja kata kami tidak ada kuasa. Bila saya kata orang yang masih jadi raja boleh bertitah panggil Perdana Menteri dan menteri-menteri besar untuk membincang (isu itu) serius. Dan ini telah dilakukan dan telah sampai ke Perdana Menteri.

“Tapi dilantik Jakim sebagai urus setia. Kertas kerja Jakim dibawa kepada menteri-menteri besar dengan hanya untuk pengetahuan semata-mata. Untuk pengetahuan dan bukan untuk perbincangan. Jadi kertas kerja itu dibincangkan. Ini saya dapat tahu daripada pemegang mohor raja-raja. Dia yang memberitahu saya. Dia kata, sia-sia. Ini keadaan yang saya kata tadi (peringkat atasan) tidak percaya.”
- Datuk Seri Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak (Al Islam, Januari 2007)

Manakala cabaran dan dugaan yang akan dihadapi dalam menyebarkan ilmu, dakwah, dan menegakkan syiar Islam jika kaedah politik digunapakai ialah kuasa. Di negara ini tiada sesiapa pun yang dapat mengatasi kuasa undang-undang walaupun seseorang itu ahli politik atau Perdana Menteri (PM) atau Timbalan Perdana Menteri (TPM). Bagaimana pula dengan tangan-tangan yang menggubal undang-undang? Adakah undang-undang memiliki “kuasa” dan kebal daripada tangan-tangan penggubal undang-undang yang bebal dan dangkal?

“Nobody is above the law”

- Datuk Seri Najib Razak

Pada asasnya, ahli politik atau politikus memiliki pakej lengkap (tetapi tidak sesempurna mana) yang tidak dimiliki oleh oleh pihak yang berkuasa (pihak berkuasa tidak merujuk kepada pihak kerajaan yang memerintah semata tetapi merujuk kepada pihak-pihak berkuasa lain seperti PDRM, JAIS, JAKIM, JAWI, JAKUN dan sebagainya). Namun pada masa yang sama ahli politik tidak kesemuanya memiliki pakej yang diperlukan di dalam dunia politik. Provokatif, agresif, dan lantang bersuara adalah antara contoh pakej yang diperlukan di dalam dunia politik. Ahli politik atau politikus yang tidak provokatif, tidak agresif, tidak lantang dan sebagainya akan menjadikan dunia politik muram dan suram.

Dunia politik tanah air mutakhir ini kekurangan ahli politik atau politikus yang benar-benar provokatif, agresif, dan lantang bersuara. Jika pun ada hanyalah politikus yang lantang bersuara untuk menangkis dan melemah pihak lawan supaya hegomoni yang dimilikinya tidak tercabar dan terhakis. Keadaan akan bertambah jumud jika kuasa yang dimandatkan rakyat digunakan untuk menangkis dan melemah pihak lawan, walaupun pihak lawan memperjuangkan sesuatu yang amat diperlukan oleh rakyat dan tanah air (seperti memperjuangkan ilmu sama ada ilmu duniawi atau ilmu agama di samping menegakkan keadilan dan kebenaran berlandaskan ilmu).

Mungkin dengan penglibatan Dr. Mohd. Asri ke dalam dunia politik tanah air akan merancakkan lagi pentas politik nasional. Bukan sahaja “ilmu” lawan “kuasa” tetapi buku bertemu dengan ruas. Namun apa yang penting adalah penyebaran ilmu lebih-lebih lagi dengan keadaan masyarakat Islam Melayu / Bumiputra terutamanya yang dahagakan ilmu. Perlu diingati bahawa, ilmu yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T terbenam di setiap minda manusia tanpa mengira seseorang itu lemah atau kuat, cacat atau tidak cacat, bekas Mufti atau pihak yang berkuasa.

Sesuatu yang tidak diketahui oleh rakyat pada 8 Mac 2008 ialah kekalahan teruk parti kerajaan yang memerintah bukanlah disebabkan oleh kekuatan atau kepaduan parti pembangkang yang membentuk Pakatan Rakyat (PR), tetapi adalah disebabkan oleh hilangnya keyakinan rakyat terhadap ahli-ahli politik tanah air sama ada ahli politik parti kerajaan yang memerintah atau parti pembangkang. Ini dapat dicerna dengan jelas melalui jumlah kemerosotan peratusan rakyat yang mendaftar sebagai pemilih dan menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih. Dengan kemasukan Dr. Mohd. Asri ke dalam arena politik mungkin dapat mencerahkan semula dunia politik tanah air di samping mengukuhkan keyakinan rakyat bahawa politik itu tidak jelik dan jijik, dan berpolitik adalah salah satu keperluan dalam kehidupan manusia yang perlu dilihat secara terbuka bukannya pransangka atau praduga.

Dr. Mohd. Asri sama ada berpendirian neutral atau berpolitik tetap tidak akan menghalangnya daripada menyebar dakwah dan mengembalikan ajaran Islam ke landasan yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Berpendirian neutral atau berpolitik hanyalah kaedah atau cara untuk mencapai atau melaksana tanggungjawab yang dipikul. Jika ada kaedah atau cara selain daripada berpendirian neutral atau berpolitik sudah tentu kaedah itu akan digunapakai oleh Dr. Mohd. Asri. Namun tidak salah berpolitik dimana pada masa yang sama menyebarkan dakwah kerana Islam itu sendiri bersifat sejagat dan sesuai dalam semua situasi dan keadaan tanpa batasan sempadan.

Comments

Unknown said…
uikss..tak cukup umur lagi..hins..hins..hehe ;)

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.