Skip to main content

Sedang...telah...terus berlaku...

Mufti dari segi istilah bahasa Arab adalah merujuk kepada ahli agama yang berhak memberi fatwa berkenaan hukum Islam. Kadi pula ialah hakim dalam perkara yang berkaitan dengan agama Islam (seperti mengurus soal pernikahan dan perceraian orang Islam, membicarakan orang yang dituduh melanggar hukum Islam dan lain-lain). Manakala imam takrifan pertama pula merujuk kepada pemimpin sembahyang yang dilakukan beramai-ramai atau sembahyang berjemaah (seperti sembahyang Jumaat, sembahyang hari raya dan lain-lain. Imam takrifan kedua pula merujuk kepada pemimpin, penganjur, ketua (negara lain-lain).


Walaupun wujud perbezaan takrifan dan definisi di antara mufti, kadi, dan imam, wujud persamaan di antara ketiga-tiganya yakni dari segi pengetahuan dan pemahaman asas tentang Islam. Dan, ketiga-tiganya tidak bersifat terpelihara atau bebas dari dosa dan lain-lain.

Dalam konteks “Malaysia,” mufti sinonim dengan “Mufti Negeri,” imam pula sinonim dengan “imam masjid,” manakala kadi sinonim dengan “kadi nikah kahwin.” Mufti, imam, dan kadi memiliki bidang kuasa yang telah ditentukan oleh pihak yang berwenang.

Dalam menjalankan kewajiban yang diamanahkan, mufti, imam, dan kadi terikat dengan bidang kuasa yang telah diperuntukan serta tempoh waktu menjalankan kewajiban yang telah ditentukan (ibarat penentuan tempoh waktu antara jarak jangka manufacturing date dan expiry date mi segera).

Dalam Kitab Mustika Hadis halaman 62 ada diterangkan mengenai tanda-tanda hampirnya kedatangan kiamat antaranya ialah:

1. Apabila susut dan kurang ilmu pengetahuan agama dengan kematian seseorang yang alim di dalam sesuatu cawangan ilmu yang tertentu dan tidak dapat diganti.

2. Apabila merebaknya kejahilan mengenai ilmu agama dengan sebab kurangnya orang yang suka mempelajarinya.

3. Apabila diserahkan sesuatu urusan agama seperti Jawatan Ketua Negara, Mufti, Kadi, dan sebagainya untuk dikendalikan oleh orang yang bukan ahlinya.

4. Apabila sesuatu masyarakat dipimpin oleh ketua yang fasik (jahat) yang suka menggalakan maksiat dan perbuatan durjana.

5. Apabila orang yang bersifat benar dikatakan pendusta. Pendusta dikatakan orang yang benar, orang yang khianat disifatkan amanah, orang yang amanah dikatakan khianat, orang yang adil disifatkan zalim, orang yang zalim disifatkan adil, orang yang jahil mempunyai pengaruh dan bermaharaja dengan berlagak pandai dalam ilmu agama sehingga orang alim terpaksa mendiamkan diri setelah tugasnya tidak lagi dihargai.

6. Apabila arak menjadi adat kebisaan diminum berterangan di sana sini dengan digalakkan pula oleh pemimpin-pemimpin dan ketua-ketua mereka.

7. Apabila perbuatan lucah (zina) dan cabul dilakukan dengan berterangan di merata-rata tempat tanpa segan, dan tidak mendapat sebarang teguran kerana kelemahan iman sehingga kalau ada yang menegur, maka orang yang menegur itu boleh dikatakan imannya sekuat Saidina Abu Bakar dan Saidina Omar pada zaman sahabat Nabi Muhammad S.A.W.

Sebagaimana apa yang diterangkan di dalam Kitab Mustika Hadis halaman 62, inilah yang sedang berlaku, telah berlaku, dan barangkali akan terus berlaku di negara ini. Cuba renungkan sejenak ketujuh-tujuh tanda hampirnya kedatangan hari kiamat dengan sejujur-jujurnya selagi ritma degupan jantung berirama.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.