Skip to main content

2008/09: Tahun pilihanraya Malaysia

Tahun 2008 dan 2009 boleh disifatkan sebagai “tahun pilihanraya Malaysia.” Pada tahun 2008, dua pilihanraya telah berlangusng iaitu Pilihan Raya Umum yang ke – 12 (PRU 12) dan Pilihanraya Kecil P44, Permatang Pauh. Pada awal tahun ini (2009) sahaja tiga pilihanraya berlangsung iaitu Pilihan Raya Kecil (PRK) P036 Kuala Terengganu, (pada Januari lepas) Pilihanraya Kecil (PRK) N25 Bukit Selambau, Kedah, P59 Bukit Gantang, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air, Sarawak yang dijangkakan berlangsung dalam masa yang terdekat ini.



Ketiga-tiga pilihan raya yang telah berlangsung (PRU-12, P44 dan P036) memperlihatkan sedikit kegusaran dan tanda tanya. Pada PRU-12, Mac 2008 lepas, Umno/BN (Parti yang memerintah) kehilangan empat buah “empayar” (Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Namun Umno/BN berjaya merampas semula Perak daripada penguasaan Parti Pembangkang melalui “keajaiban kuasa politik.”) yang dikuasai sekian lama. Pada PRU-12 juga Umno/BN sekali lagi membuktikan dengan cemerlang, gemilang dan terbilang yang ia gagal menawan Negeri Kelantan (yang berada dibawah penguasaan PAS). Pada PRK P44, Permatang Pauh dan P036, Kuala Terengganu, umno/BN juga tewas (dengan begitu mudah) ditangan parti pembangkang (PAS).

Pada PRK N25 Bukit Selambau dan P59 Bukit Gantang nanti dijangkakan berlakunya persaingan sengit di antara Umno/BN dan Parti Pembangkang (Pakatan Rakyat). Ini kerana keyakinan Umno/BN semakin memuncak selepas berlakunya krisis politik di Perak. “Keajaiban kuasa politik” kemungkinan akan berlaku pada kedua-dua PRK tersebut. Atas faktor Umno/BN sudah berada di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib Razak pada masa kedua-dua PRK itu nanti. Namun, rakyat marhaen tetap memiliki “keajaiban kuasa politik jika dibandingkan dengan Umno/BN,” dan Dato’ Seri Najib telah mengakuinya. Jika Umno/BN gagal memenangi kedua-dua PRK ini nanti, maka sekali lagi kepimpinan Dato’ Seri Najib tercalar. Umum mengetahui, Dato’ Seri Najib adalah anak kepada Allahyarham Tun Abdul Razak, seorang politikus yang tidak menikus.

Manakala pada PRK DUN Batang Air, BN dijangka tidak akan mendapat saingan daripada parti pembangkang. Malah, BN dijangkakan menang ekoran kepercayaan rakyat terhadapanya yang menggunung, sebagaimana yang digambarkan oleh media-media yang berada di bawah telunjuk parti kerajaan yang memerintah. Masyarakat Bumiputera Sarawak masih boleh disifatkan sebagai “pasif politik” jika dibandingkan dengan masyarakat Melayu/Bumiputera di Semenanjung Malaysia. Oleh yang demikian, faham dan tahu mereka terhadap pro dan kontra “BN sebagai parti yang mengutamakan kebajikan rakyat” masih boleh dipertikai dan diragui. Walau bagaimana pun, kemenangan BN pada PRK DUN Batang Air tidak akan membawa apa-apa kepada Umno/BN seluruhnya sekiranya N25 Bukit Selambau dan P59 Bukit Gantang jatuh ke tangan Parti Pembangkang.

Acara lompat parti semakin “beraksi” sejak kebelakangan ini. Undang-undang Halang Lompat Parti (UUHLP) yang dicadangkan baru-baru ini ada kemungkinan kekal sebagai cadangan. Adalah lebih baik ia kekal sebagai cadangan. Ini kerana UUHLP merupakan undang-undang yang tidak praktik di dalam dunia yang serba politikal. Lagipun, sekiranya UUHLP dilaksana dan dikuatkuasakan, ianya tidak lain dan tidak bukan hanyalah “2x5, 5x2.” Politikus tanah air akan kemungkinan menjadi bahan ejekan rakyat.

Acara lompat parti yang rancak pastinya merancakkan lagi pengadaan PRK. Namun, dalam masa yang sama PRK tidak akan diadakan walaupun berlakunya kes lompat parti di kalangan Ahli Parlimen. Ini kerana, Ahli Parlimen yang lompat parti apatah lagi lompat ke parti Umno/BN akan disifatkan sebagai tanda sokongan rakyat, jauh sekali disifatkan sebagai pembelotan terhadap parti melainkan sebaliknya (Ahli Parlimen Umno/BN yang lompat ke Parti Pembangkang dianggap sebagai pengkhianat dan satu bentuk pembelotan walaupun ada kemungkinan rakyat yang memilih Ahli Parlimen mengkehendaki supaya lompat parti).

Pada 2008 lalu, salah seorang Menteri Kabinet PM Abdullah membuat pengakuan (keterlibatan dalam aksi seks) yang mengejut tetapi berani dan bermaruah, dan perlu dicontohi dan diteladani. Ekoran daripada pengakuan tersebut Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kehilangan jawatan Menteri Kabinet dan jawatan politik untuk sementara waktu tetapi kembali semula ke dalam arena politik setelah berjaya menyandang jawatan Timbalan Presiden MCA, sewaktu pemilihan parti. Pada awal musim 2009, Malaysia dikejutkan lagi dengan aksi “18SX” oleh seorang ahli politik Parti Pembangkang. Ini menyebabkan satu PRK akan kemungkinan diadakan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, N37, Elizabeth Wong Keat Ping berhasrat untuk meletakkan jawatan sebagai ADUN Bukit Lanjan.

Daripada sudut logika, PRK boleh diadakaan secara berurutan dalam jarak masa yang dekat seandainya Ahli Parlimen dan ADUN:

1) Meletak jawatan (kerana terpaksa)

2) Berundur daripada jawatan (secara sukarela), dan

3) Mengosong/kekosongan jawatan (disebabkan faktor ketidakjangkaan seperti meninggal dunia, diisytihar muflis atau hilang upaya mental)

Walau bagaimanapun, pengadaan PRK atas faktor kepentingan parti kerajaan yang memerintah dan bukan kerana faktor rakyat, PRK tidak perlu diadakan kerana setiap kali pengadaan pilihanraya, wang rakyat (yang dimiliknegarakan oleh kerajaan yang memerintah) pastinya akan menjadi taruhan.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.