Skip to main content

PPSMI: sine qua non

Memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) daripada sistem pelajaran kebangsaan boleh diibaratkan seperti membuang sesuatu yang baik atas nama “kebaikan.” Hanya golongan “idiosyncratic” sahaja yang membuang sesuatu yang baik atas nama kebaikan. Membuang sesuatu yang baik akhirnya menempah anachronism, bukannya kebaikan.


Dalam mengembangkan ilmu, bahasa adalah “batu loncatan”nya. Ilmu sebenarnya boleh berkembang walaupun dengan hanya menggunakan satu bahasa. Tetapi memerlukan syarat iaitu seseorang ilmuan perlu menghasil dan mengembangkan ilmu sebanyak yang mungkin tanpa mencedok ilmu yang dihasilkan oleh ilmuan (bangsa) lain. Tiada satu bangsa pun yang dapat menghasil dan mengembangkan ilmu hanya dengan menggunakan satu bahasa. Bangsa Eropah dan Jepun umpamanya menghasil dan mengembangkan ilmu dengan terlebih dahulu mengkaji, mempelajari, dan menggunakan bahasa bangsa lain sama ada dalam bentuk pengajaran mahupun pembelajaran.

Bagi sesetengah pihak, perlaksanaan PPSMI dilihat sebagai membunuh Bahasa Melayu, jauh sekali menyifatkannya sebagai pengembangan ilmu ke dalam Bahasa Melayu. Bahasa Melayu sememangnya diakui bahawa ia memiliki segala komponen bahasa yang lengkap sebagaimana bahasa-bahasa utama dunia. Cuma, “ilmuan Melayu” zaman sekarang “kurang lengkap” dengan ilmu yang diperlukan untuk melengkapkan Bahasa Melayu dengan ilmu. Input ilmu amat diperlukan oleh Bahasa Melayu supaya ia dapat berfungsi sepenuhnya sebagai bahasa yang unggul dan agar dapat sama rata sama rasa dengan bahasa bangsa lain dunia.

PPSMI bukanlah pembunuh sebenar Bahasa Melayu. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pembunuh sebenar Bahasa Melayu ialah orang Melayu sendiri, terutamanya golongan “Melayu Muda Lupa.” Golongan ini bukanlah lupa bagaimana berbahasa Melayu dalam kehidupan seharian, tetapi telah lupa kepada “Apa itu Bahasa Melayu?” “Bahasa Melayu itu untuk siapa?” dan “Bagaimana berbahasa Melayu dengan betul?” Golongan “muda lupa” ini bukan sahaja berselerak di kalangan masyarakat Melayu malah di kalangan kelompok pemimpin kerajaan yang memerintah, para penggubal dasar kerajaan yang memerintah, cendekiawan dan ilmuan Melayu pun ada juga. Adakah pensyarah, mahasiswa dan mahasiswi di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ahli dalam Bahasa Melayu?

Kita harus dan perlu sedar bahawa bahasa itu penting dalam penghasilan dan pengembangan ilmu. Ilmu kegunaan manusia yang dicipta oleh Allah Yang Maha Pemurah terbenam di dalam akal fikiran setiap manusia di atas muka bumi ini tanpa mengira sama ada ia berkulit putih atau tidak, Islam atau tidak. Ilmu yang terbenam ini hanya boleh diterokai melalui bahasa tanpa mengira apa bahasa sekalipun yang digunakan.

Oleh yang demikian perlaksanaan PPSMI adalah langkah yang amat pragmatik terhadap penerokaan ilmu di samping mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu melalui penterjemahan ilmu ke dalam Bahasa Melayu.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.