Skip to main content

Pemilihan dan Perhimpunan Agung Umno ke-59: Tiada apa yang luar biasa

Pada Pemilihan dan Perhimpunan Agung Umno yang ke-59 baru-baru ini, tiada apa yang luar biasa melainkan dianggap luar biasa melalui “creatio” fikiran yang telah teracuan menerusi cita rasa pemimpin-pemimpin opportunist dan politikus badut Umno. Seperti juga pemilihan dan perhimpunan agung Umno yang lepas, pemilihan dan perhimpunan agung kali ini hanyalah mempersembahkan rutinan wajib pemilihan dan perhimpunan – perbahasan kalangan sidang perwakilan, pemilihan pemimpin, perhimpunan agung, dan lain-lain.


Bagi ahli dan pemimpin generasi baru Umno, pemilihan dan perhimpunan agung kali ini dianggap sebagai luar biasa. Terutamanya pada hari-hari pemilihan dan perbahasan, dan perhimpunan, “rumah keramat” Umno dikawal ketat oleh Polis di-Raja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Kehadiran pihak pemantau dan pemerhati, dan media dalam dan luar negara terutamanya pada hari-hari perbahasan dan pemilihan menyebabkan suasana yang luar biasa, terutamanya bagi mereka yang menganggapnya sebagai luar biasa.

Namun kehadiran PDRM dan SPRM tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang luar biasa. Ini kerana, Umno generasi “neo (baru)” tepat-tepat berada dalam keadaan (rumusan formula Seniman Agung, P. RAmlee) "alif, mim, nun, tendang wau sarkas." Bagaimana jikalu ahli dan pemimpin Umno bercakaran seperti “anjing dan kucing sarkas” semasa hari pemilihan dan perbahasan tanpa kehadiran PDRM? Apakah tanpa kehadiran SPRM ahli dan pemimpin Umno “buta” rasuah politik wang atau hilang gian kecanduan rasuah politik wang? Khabarnya, pihak lembaga disiplin parti dan SPRM akan menyiasat ahli dan pemimpin Umno - terutamanya yang memenangi jawatan semasa pemilihan - selepas pemilihan dan perhimpunan agung yang ke-59 ini usai.

Walaupun tidak berlaku sesuatu yang luar biasa pada pemilihan dan perhimpunan agung Umno yang ke-59 ini, tetapi berlaku “keajaiban” yang gemilang, cemerlang, dan terbilang. Keajaiban ini berlaku sebelum, semasa, dan selepas pemilihan kepimpinan baru (sayap Pemuda dan Wanita) Umno. Sebagaimana yang diketahui, Umno adala sebuah parti politik yang anti gejala rasuah. Oleh kerana sifat keantian yang menggunung ini Dato’ Seri Mohd Ali Rustam tidak dibenarkan bertanding jawatan Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan parti. Namun agak menghairankan bagaimana Umno boleh membenarkan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno walaupun telah didapati bersalah oleh lembaga disiplin parti atas kesalahan rasuah politik wang. Dalam pertandingan merebut jawatan ketua pemuda, Khairy Jamaluddin memenanginya namun dikutuk sebagai perasuah oleh sebilangan penyokong Dato’ Mukhriz Tun Dr. Mahathir semasa menyampaikan ucapan sempena kemenangan merebut jawatan ketua pemuda. Apakah dengan kemenangan Khairy Jamaluddin ini “sapu bersih” semakin beraksi dan dilegasikan?

Seterusnya, Dato’ Seri Sharizat yang kalah pada pilihan raya umum lalu (PRU-12) telah memenangi jawatan ketua wanita Umno semasa pemilihan. Ini bermakna Dato’ Seri Sharizat yang sah ditolak rakyat melalui proses demokrasi tidak ditolak oleh Umno. Apakah dengan kemenangan ini, Dato’ Seri Sharizat akan diserapkan semula ke dalam kabinet baru yang akan dibentuk oleh Dato’ Seri Najib nanti? Seandainya Dato’ Seri Shahrizat diserapkan semula ke dalam kabinet Dato’ Seri Najib Razak, maka dengan sesungguhnya Umno telah menidakkan dan membelakangkan suara rakyat suara keramat.

Umno, pada asalnya adalah parti politik yang tidak memiliki apa-apa melainkan amanat dan mandat rakyat marhaen. Setelah dekat 63 tahun penubuhannya, Umno telah mencapai cemerlang, gemilang, dan terbilang, dari segi pemilikan aset dan liabiliti. Manakala ahli dan pemimpin-pemimpinnya telah mengungguli carta kasta elitis (di kalangan politukus-politikus tanah air) dan senantiasa bertabiat elitis walaupun berdampingan dengan rakyat marhaen ceruk desa. Adakah keelitisan ahli dan pemimpin-pemimpin Umno sekarang ini disebabkan oleh kerana mereka boleh meminta “tongkat sakti” daripada Umno merangkap kerajaan yang memerintah? Bagaimana dengan kenyataan pemimpin muda wanita Umno pada semasa pemilihan baru-baru ini yang menyatakan hasrat untuk melibatkan diri dengan secara langsung - sekiranya memenangi jawatan dalam pemilihan parti - dalam GLC (Government Link Company) atas alasan tuntutan pemenuhan kuota 30 peratus ekuiti Bumiputera? Apakah ahli dan pemimpin-pmimpin Umno berpolitik untuk tujuan sapu bersih?

Di perhimpunan agung Umno yang ke-59 ini, Malaysia dan dunia telah menyaksikan peralihan kuasa pucuk kepimpinan parti. Peralihan kuasa pucuk kepimpinan di dalam sesebuah parti politik sebenarnya menjadi satu kelaziman dalam berpolitik walaupun sesebuah parti politik itu bakal memperoleh pucuk kempimpinan yang diramal unggul. Memperoleh pucuk kepimpinan yang unggul tidak mengapa asalkan bukan memperoleh pucuk kepimpinan yang unggul “menunggul.” Pada masa yang sama, Umno telah digenerasibarukan melalui pelahiran kepimpinan barisan pemimpin muda Umno seperti Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Dato’ Dr. Zahid Hamidi. Namun, peralihan kuasa pucuk kepimpinan dan keambilalihan kuasa memimpin oleh barisan kepimpinan muda masih belum boleh disukat sejauh mana Umno benar-benar mengalami pengstrukturan dan pengrekonstruksian semula. Ini kerana, Umno pada hari ini sedang bergelut dengan “penyakit dalam” dan pada masa yang sama mengalami krisis kesurutan kehegomonian.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.