Skip to main content

"Kebijakan melengkap" Kabinet PM Abdullah

Daripada sudut fakta, menteri-menteri Kabinet PM Abdullah Ahmad Badawi sememangnya disifatkan sebagai “tersohor” di dalam menyelesaikan masalah rakyat yang serba rumit. Ketersohoran menteri-menteri Kabinet PM Abdullah mengatasi ketersohoran Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri walaupun senantiasa mendengungkan mantera “bekerjalah bersama-sama saya, tetapi bukan untuk saya.” Maka tidak hairanlah di dalam membuat keputusan-keputusan penting, PM Abdullah tidak berkemampuan, dan hanya menyerahkannya kepada kabinet.



Dalam keadaan ekonomi yang serba tidak tentu, rakyat, apatah lagi marhaen, pastinya terhambat dengan cemeti ekonomi sehingga menjerut leher mereka daripada menikmati kemakmuran ekonomi di tanah tumpah darah sendiri. Dalam keadaan yang sedemikian tentulah rakyat mengadu nasib kepada kerajaan yang memerintah. Ini adalah kerana, parti kerajaan yang memerintah telah (dan sentiasa) membuat ikrar “aku janji” (membela nasib) dengan rakyat terutamanya di musim-musim pilihanraya. Teramat mustahil kerajaan yang memerintah begitu gamak membelakangkan nasib rakyat yang sentiasa memangkahnya. Namun dalam “era ketamakan” ini, mustahil itu sesuatu yang tidak mustahil. Dan ia boleh dicapai dengan cemerlang, gemilang dan terbilang.

Daripada spektrum ekonomi, kerajaan yang memerintah boleh diandaikan sebagi pihak yang memberi penawaran. Manakala rakyat pula boleh diandaikan sebagai pihak yang membuat permintaan. Urusniaga hanya boleh berlaku sekiranya pihak yang memberi penawaran boleh dan dapat memenuhi permintaan pihak yang membuat permintaan. Namun, kadangkala pihak yang memberi penawaran adakalanya tidak mampu memenuhi permintaan pihak yang membuat permintaan. Maka pihak yang membuat permintaan terpaksa akur kepada pihak yang memberi penawaran atas faktor tiada pilihan lain. Disebalik keakuran pihak yang membuat permintaan, dianggap oleh pihak yang memberi penawaran sebagai satu “endorsement” daripada pihak yang membuat permintaan.

Berbalik kepada kerajaan yang memerintah dan rakyat, kerajaan yang memerintah seringkali meyakinkan rakyat bahawa ia sentiasa peka terhadap permasalahan ekonomi yang sering menghambat rakyat. Dalam keadaan ekonomi sekarang yang tidak menentu, kerajaan yang memerintah seolah mencatur strategi “melengkap” agar ia tidak mengalami “kemuflisan teknikal” cukai. Strategi melengkap (kerajaan yang memerintah) ini bermula dengan penurunan harga minyak. Selang jangka waktu, kadar tarif air dan elektrik turut diturankan. Penurunan harga dan tarif ini kemudiannya dicanang ke seluruh ceruk tanah air melalui media cetak dan elektronik (yang berada di bawah telunjuk kerajaan yang memerintah). Apabila rakyat maklum dengan penurunan harga minyak dan kadar tarif air dan elektrik ini, kerajaan yang memerintah sudah menduga yang rakyat sudah tentu berterima kasih terhadap keperihatinan yang ditunjukkan itu, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang sedang “sakit” sekarang ini.

Namun tiada yang menyangka apabila kerajaan yang memerintah mengumumkan akan menaikkan kadar bayaran tol di kelima-lima lebuh raya utama. Dengan pengumuman kenaikan kadar bayaran tol ini, rakyat sudah semestinya berasa dibebani sekali lagi. Pengguna utama lebuh raya biasanya akan membelanjakan lebih kurang RM300 sebulan untuk membayar bayaran tol. Walaupun kerajaan yang memerintah menangguhkan kenaikan kenaikan kadar bayaran tol (di atas “kebijakan” PM Abdullah Ahmad Badawi”), ia masih lagi menunjukkan tanda-tanda bahawa kadar bayaran tol akan dinaikkan sekiranya berlaku “keajaiban ekonomi” - merujuk kepada pertumbuhan pendapatan bolehguna rakyat - pada bila-bila masa.

Kerajaan yang memrintah tidak akan “berpeluk tubuh” walaupun menunjukkan kesikapan berpuas hati dalam hal turun naik harga dan tarif penawaran yang ditawarkan. Ini kerana, setiap penawaran yang ditawarkan mempunyai nilai keuntungan yang boleh dikembangkan pada masa hadapan. Nilai keuntungan yang diperoleh walaupun sedikit tetapi mempunyai potensi ekonomik untuk jangka masa panjang. Dalam percaturan ekonomi, setiap penurunan harga dan tarif perlu disusuli dengan kenaikan walaupun sedikit. Jika penurunan harga dan tarif berlaku secara tandem, pihak yang memberikan penawaran kebarangkalian akan mengalami kemuflisan teknikal. Inilah yang disifatkan sebagai “kebijakan melengkap” kabinet PM Abdullah.

Dalam membela nasib rakyat di samping mengutamakan kebajikan rakyat lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, kerajaan yang memerintah perlu mengorbankan “kebijakan melengkap” itu. Kebijakan melengkap itu tidak sesuai digunapakai selagi rakyat marhaen (terutamanya) hidup di dalam “kasta kemiskinan.” (Malaysia: Kadar Kemiskinan 2004 adalah 86.7%). Bukan setakat golongan miskin sahaja yang terjerut dengan “kebijakan melengkap” kerajaan yang memerintah ini, malah golongan berpendapatan sederhana pun terkena tempiasnya.

Daripada sudut pandang perniagaan dan perdagangan, “kebijakan melengkap” itu amat penting dalam pengembangan keuntungan. Tetapi adalah malang seandainya kerajaan yang memerintah pada masa yang sama beperanan sebagai “ahli perniagaan” atau “ahli korporat.” Ini kerana, ahli perniagaan dan ahli korporat selalunya tidak pernah berasa kisah akan nasib dan penghidupan rakyat asalkan keuntungan terus cemerlang, gemilang dan terbilang. Sebagai “haiwan” politik, kerajaan yang memerintah perlu meletakkan keutamaan rakyat melebihi keutamaan sendiri. Sekiranya peletakan keutamaan rakyat didukung dan dijunjung maka kerajaan yang memerintah akan terus memerintah tanpa melalui proses pilihanraya. Suara rakyat suara keramat.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.