Skip to main content

30% (DEB) ke 19.4% (2009) ke liberalisasi ekonomi

Kerajaan Perikatan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, yang praktik dan realis, hanya suka menyebut sesuatu yang difikirkan munasabah dan boleh dijayakan. Kita membuat anggaran 30 peratus daripada aktiviti-aktiviti perdagangan dan perusahaan dipegang oleh orang-orang Melayu dan Bumiputera lain dalam masa dua puluh tahun ialah kerana ini angka yang munasabah. Kita telah menyatakan bahawa ini adalah sekurang-kurangnya yang kita cadangkan. Kalau kita boleh buat lebih daripada itu, sangatlah elok.” Merupakan ucapan Allahyarham Tun Abdul Razak semasa menggulung perbahasan ucapan terima kasih di atas titah diraja di Dewan Rakyat pada 17 Mei 1972.

Pada 29 Jun 2009, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak telah mengumumkan penyusunan semula Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) dan penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas). Melalui penyusunan semula Jawatankuasa Pelaburan asing (FIC) dan penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), ekonomi negara mula menapak ke arah liberalisasi. Struktur ekonomi dunia kini tidak lagi seperti struktur ekonomi era kemelesetan tahun 1884 atau tahun 1930. Struktur ekonomi dunia kini lebih menjurus kepada struktur liberal di mana tiang serinya terdiri daripada kapitalis. Padang percatruannya adalah pasaran bebas dan pasaran global. Dalam keadaan sedemikian, deregulisasi dan spekulasi boleh dan bakal terjadi seperti pisang berbuah dua kali atau infiniti.

 “Dunia ini cukup bagi orang biasa tetapi tidak bagi orang yang tamak

- Mahatma Gandhi


Semasa Dato’ Seri Najib Razak mengumumkan penyusunan semula Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) dan penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), Dato’ Seri Najib Razak telah menetapkan 30% ekuiti Bumiputera dimansuhkan dan persaingan Bumiputera di atas padang percaturan ekonomi berasaskan merit.

Berikut merupakan daripada senarai berkaitan pemansuhan 30% ekuiti Bumiputera dan peningkatan had pegangan saham asing di bawah penyusunan semula Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC).

1. Syarat 30% ekuiti Bumiputera bagi Tawaran Awal Permulaan (IPO) ke atas syarikat tersenarai dimansuhkan.

2. Had pembelian harta oleh warga asing dinaikkan secara umum kepada RM500,000.00

3. Had pegangan saham asing untuk syarikat pengurusan unit amanah dan broker saham ditingkatkan kepada 70% daripada 49%.

Salah satu senarai yang berkaitan dengan penyertaan Bumiputera di dalam ekonomi di bawah penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) adalah:

1. Syarikat Bumiputera yang melabur melalui Ekuinas bersaing berasaskan merit.

Berbalik kepada ucapan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak tentang 30 peratus ekuiti Bumiputera terutamanya “kalau kita boleh buat lebih daripada itu, sangatlah elok,” tidak dapat dibuktikan secara empirikal mahupun hypothesis sama ada keempat-empat senarai di atas menggambarkan secara jelas erti, makna, dan maksud ucapan Allahyarham Tun Abdul Razak keseluruhannya dan terutamanya “kalau kita boleh buat lebih daripada itu, sangatlah elok,”

Allahyarham Tun Abdul Razak memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan tujuan untuk menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum serta menyusun semula masyarakat. DEB diberi tempoh pelaksanaan selama 20 tahun melalui beberapa projek tertentu supaya sekurang-kurangnya Bumiputera menguasai 30% ekuiti dalam ekonomi negara. Mengikut pandangan Allahyarham Tun Abdul Razak, taraf kehidupan masyarakat Melayu perlu dinaikkan kepada suatu tingkat supaya mereka tidak lagi berada lebih rendah daripada kedudukan masyarakat Cina dan India dari aspek sosial dan ekonomi. Sehubungan itu, Allahyarham Tun Abdul Razak mengarahkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang di tempatkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) membentuk satu dasar ekonomi yang benar-benar baharu.

Sepanjang tahun 1970-an, objektif DEB menjadi asas Rancangan Lima Tahun Malaysia yang kedua apabila ia dilancarkan pada Januari 1971. DEB telah dijalankan dalam dua peringkat. Peringkat pertama, menumpukan perhatian untuk mengurangkan kemiskinan dengan meninggikan jumlah pendapatan dan memperbanyakkan peluang pekerjaan bagi semua masyarakat di Malaysia tanpa mengira kaum. Peringkat kedua, menyusun semula masyarakat Malaysia supaya diperbetulkan pengenalan masyarakat mengikut fungsi ekonomi iaitu masyarakt Melayu bergantung kepada pertanian dan masyarakat Cina menguasai perdagangan dan perusahaan.

Dalam masa sembilan belas tahun, pemilikan ekuiti masyarakat Melayu/Bumiputera hanya 19.4%. Manakala pemilikan ekuiti masyarakat Cina berada pada 42.4%. pemilikan ekuiti kaum India pula berada pada 1.1% dan Lain-lain 0.4%. Dari segi perolehan purata pendapatan isi rumah 2004, masyarakat Cina mencatat perolehan RM4437, masyarakat India RM3456, masyarakat Melayu/Bumiputera RM2711, dan Lain-lain RM2312 (Abdullah Ahmad Badawi, 2007). Ini jelas menunjukkan bahawa kelenturan masyarakat Melayu/Bumiputera statik pada kadar yang tidak memuaskan. Sedangkan sasaran pemilikan ekuiti ekonomi yang diletakkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak untuk masyarakat Melayu/Bumiputera ialah 30% dalam tempoh 20 tahun atau lebih daripada 30% dalam tempoh 20 tahun.

DEB adalah satu dasar yang praktik dan realis, dan sudah semestinya boleh dicapai. Namun apa yang agak mengecewakan adalah ia tidak diperaktikkan dan direalisasikan secara telus. Menurut YM Profesor DiRaja Ungku Aziz, DEB, pada tahun 1969 keseluruhannya adalah untuk masyarakat Melayu/Bumiputera. Di tahun-tahun dan 70-an dan awal 80-an, pelaksanaan DEB benar-benar berlandaskan praktik dan realis yang telus sebagaimana yang dicitakan.

Namun pada pertengahan tahun 80-an, DEB malap dari segi praktik dan realisnya. Ini adalah berpunca daripada penyelewengan, kroni, rasuah, salah laku, dan nepotisme. Penyelewengan-penyelewengan ini terus berlarutan sehingga tahun 90-an. Ini bemakna, pelaksanaan DEB mencapai kemuncak kegagalannya adalah disebabkan oleh salah laku teknikal birokrat dan teknokrat Melayu/Bumiputera, dan sebilangan masyarakat Melayu, dan ia tidak berkait secara langsung dengan sistem mahupun teoretikal DEB itu sendiri.

Oleh yang demikian tidak keterlaluan jika dikatakan wawasan yang didasarkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dikuburkan sendiri oleh Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak. Penyusunan semula Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) dan penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) adalah satu langkah yang pragmatik dan liberal. Tetapi apa yang agak mengecewakan adalah penidakkan terhadap kepentingan masyarakat Melayu/Bumiputera. Walaubagaimana pun, penidakkan ini diharap mampu mengubah set minda masyarakat Melayu/Bumiputera supaya bersifat progresif di dalam penyertaan ekonomi negara.

Seandainya liberalisasi ekonomi yang dilakasanakan oleh kerajaan di bawah kepimpinan Dato’ Seri Najib Razak gagal sebagaimana gagalnya DEB, maka sandaran boleh diletakkan di atas bahu masyarakat Cina, India, dan Lain-lain. Keseluruhan penguasaan ekonomi ketiga-tiga kumpulan masyarkat ini berada pada 43.9% dan ia mampu mengimbangi penguasaan penyertaan warga asing dalam ekonomi negara.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.