Skip to main content

Apa yang perlu dilakukan terhadap ISA

Secara mudah, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebenarnya bertentangan dengan konsep hak asasi manusia terutamanya hak bersuara. Dan sudah semestinya kerajaan yang memerintah menyedarinya. Namun dalam soal keselamatan negara, kerajaan yang memerintah tentu tidak akan berkompromi dengan golongan pendesak apatah lagi golongan politik yang meminta supaya ISA dimansuhkan serta merta. Peristiwa serangan pengganas ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC), Amerika Syarikat pada 11 September 2001 pasti akan menguatkan lagi pendirian mutlak kerajaan yang memerintah bahawa ISA perlu dikekalkan.


Berikut adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berikutan tindakan kerajaan menahan tiga individu (Teresa Kok, Tan Hoon Cheng, dan Raja Petra Kamaruddin) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA);

“dalam Islam, kita tidak dapat terima orang dihukum tanpa mendapat peluang membela diri. Kalau benar orang itu salah dari segi Islam contohnya ajaran sesat, kita buktikan dari segi nas-nas Islam dia buat ajaran sesat. Kemudian kita tuduh dia menghina Nabi mesti ada buktinya. Sekarang ini zaman moden, kalau orang letak di internet, kita boleh cetak, boleh tengok dan dirakam. Untuk tujuan apa kita gubal satu akta di mana manusia tidak boleh membela diri? Allah beri keadilan di hari Kiamat kelak (di Padang Mahsyar) sehingga manusia pun berluang untuk dibicarakan. Tindakan kerajaan menahan ketiga-tiga individu (Teresa Kok, Tan Hoon Cheng, dan Raja Petra Kamaruddin) tersebut dan mana-mana yang ditahan di bawah ISA adalah tidak Islamik kerana bercanggah dengan prinsip keadilan.”

Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan memerintah ialah mengekalkan ISA untuk tujuan keselamatan negara tetapi perlu ditambahbaik (dengan memansuhkan seksyen-seksyen tertentu) sebagaimana yang telah disarankan oleh Datuk Ibrahim Ali, Ahli Parlimen (BEBAS) Pasir Mas, Kelantan. Menurut Datuk Ibrahim Ali, ISA boleh disalahgunakan sekiranya kerajaan menggunakan ISA untuk menekan musuh politiknya. ISA secara teknikalnya disalahguna oleh kerajaan jika ia digunakan untuk menjaga kepentingan keselamatan atau kedudukan parti politik kerajaan (Umno/BN). Sekiranya ini berlaku maka ia bercanggah dengan Fasal 149 Perlembagaan Persekutuan. Berdasarkan Fasal 149 Perlembagaan Persekutuan, ISA perlu digunakan untuk menjaga keselamatan negara.

Berikut adalah cadangan penambahbaikan ISA yang dilontarkan oleh Datuk Ibrahim Ali:

1. Seksyen 8 ISA yang memberi kuasa budi bicara (discretionary power) kepada Menteri Dalam Negeri untuk membuat penahanan perlu dipinda di mana kuasa membuat penahanan wajar diberikan kepada sebuah badan bebas yang tidak mempunyai kepentingan politik. Badan bebas ini boleh dikenali sebagai ‘Majlis Keselamatan Dalam Negeri (Internal Security Council)’ dan hendaklah terdiri daripada Ketua Polis Negara atau wakilnya, Peguam Negara atau wakilnya, seorang ahli daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), seorang ahli daripada Majlis Peguam yang dipilih oleh Presiden Majlis Peguam dan seorang ahli yang dilantik daripada Dewan Negara sebagai Pengurusi Majlis Keselamatan Dalam Negeri tersebut.

2. Majlis Keselamatan Dalam Negeri tersebut hedaklah diletakkan di bawah pemantauan parlimen dan bukannya badan eksekutif. Segala keputusan yang diambil oleh Majlis Keselamatan Dalam Negeri ini hendaklah dilaporkan terus kepada parlimen. Ini kerana ISA adalah suatu akta yang digubal dengan kuasa khas parlimen di bawah Fasal 149 Perlembagaan Persekutuan. Hal ini berbeza dengan akta-akta lain yang diusulkan oleh badan eksekutif untuk diluluskan oleh parlimen.

Kuasa untuk menggubal ISA di bawah Fasal 149 Perlembagaan Persekutuan adalah suatu kuasa istimewa yang diberikan kepada parlimen sahaja tanpa perlu berunding dengan kerajaan-kerajaan negeri. Parlimen mempunyai kuasa menggubal dan meminda ISA dengan menafikan hak-hak individu menurut Fasal 5 (Kebebasan diri setiap individu), Fasal 9 (Kebebasan bergerak), Fasal 10 (Kebebasan bersuara, berkumpul dan berpersatuan), dan Fasal 13 (Kebebasan memiliki harta). Oleh sebab ISA adalah suatu akta yang tujuannya digariskan sendiri oleh Perlembagaan, maka perlaksanaan ISA perlu dipantau oleh parlimen.

3. Keputusan yang diambil oleh Majlis Keselamatan Dalam Negeri boleh dirujuk kepada Mahkamah untuk semakan kehakiman (‘judicial review’) dan Mahkamah berhak untuk mengekalkan atau membatalkan (‘quash’) keputusan tersebut secara certiorari sekiranya Mahkamah berpuas hati bahawa kuasa budibicara tersebut digunakan secara tidak adil dan melanggar undang-undang.

Oleh itu, seksyen-seksyen 8B, 8C, dan 8D ISA yang menafikan kuasa Mahkamah membuat semakan kehakiman hendaklah dimansuhkan (abolished). Sebenarnya, seksyen-seksyen 8B, 8C, dan 8D ISA tersebut adalah bercanggah dengan Fasal 121 Perlembagaan Persekutuan kerana cuba menafikan kuasa badan kehakiman memberikan remedi perlembagaan seperti habeas corpus, certiorari, dan mandamus. Mahkamah perlu diberikan kuasa untuk menyemak sama ada keputusan Majlis Keselamatan Dalam Negeri tersebut dibuat mengikut lunas undang-undang atau tidak.

Seksyen-seksyen 8B, 8C, dan 8D adalah ‘unconstitutional’ dan satu usaha menafikan doktrin pengasingan kuasa (doctrine of separation of powers) yang menjadi teras Perlembagaan Persekutuan. Pihak eksekutif tidak wajar menafikan peranan badan kehakiman kerana badan kehakiman (‘judiciary’), badan perundangan (‘legislative body’) dan badan eksekutif (‘executive’) adalah tiga kompenen penting bagi membentuk kerajaan. Jika peranan badan kehakiman dinafikan, maka sudah pasti kita tidak dapat mengekalkan keseimbangan kuasa ekoran tiada ‘check and balance’ terhadap tindakan pihak eksekutif.

Melihat kepada perkembangan semasa di mana imej badan kehakiman semakin tercalar, maka pembaharuan perlu dilakukan segera untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman yang mempunyai peranan sebagai ‘Guardian of the Constitution.’ Oleh itu, pemansuhan seksyen-seksyen 8B, 8C, dan 8D ISA adalah antara perkara yang perlu diberikan perhatian serius. Kita tidak mahu melihat badan kehakiman ibarat singa tidak bertaring yang hanya gah pada nama semata-mata.

Dalam mengekal ISA, kerajaan yang memerintah perlu memahami bahawa menjaga kepentingan dan keselamatan Umno/BN tidak boleh disamakan dengan menjaga keselamatan negara. Ini adalah kerana, Umno/BN walaupun membentuk kerajaan persekutuan tetapi tidak membentuk negara melainkan kerajaan yang memerintah mengamalkan dasar Napoleon Bonaparte – L’etat C’est moi. Menggunakan ISA untuk menekan atau mengekang ahli politik parti pembangkang boleh disabitkan dengan dakwaan mendukung fahaman Machiavelli atau mendukung totalitarianisme.

Mendukung fahaman Machiavelli, atau mendukung totalitarianisme, atau kedua-duanya, bercanggahan dan bertentangan dengan semangat demokrasi. Tiada gunanya kerajaan yang memerintah menegakkan demokrasi tetapi pada masa yang sama menyeleweng daripada apa yang telah digalurkan dalam demokrasi. Sekiranya demikian, maka kerajaan yang memerintah adalah lebih teruk daripada orang bodoh, yakni jahil.

Comments

Anonymous said…
BRO....
GUA BACA TAJUK LU DAH BEST...
INTRO PUN DAH BEST....
TAPI BILA DAH LU SEBUT NAMA JAGUH LOMPAT BERGANTI-GANTI NEGARA, AL-MALIKUL ASHABUL IBRAHIM....
GUA RASA TERPOTONG.
MAAF DIATAS KOMEN GUA YG IKHLAS INI.

BUKAN GUA BENCI DENGAN JAGUH YG SEORANG INI...
TAPI GUA MEMANG TAK BERAPA DENGAN ORANG YG SUKA MELOMPAT KE SANA KE MARI.

dewamuzik.wordpress.com

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.