Skip to main content

Pemansuhan PPSMI dan Orang Melayu

Tindakan kerajaan memansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah tindakan yang kurang bijak. Secara sinis ia boleh disifatkan sebagai “membuang sesuatu yang baik atas nama ‘kebangsaan.’” Bagaimana pun, kerajaan yang mempunyai kuasa mutlak di dalam menggubal dan memansuh dasar berhak memansuh PPSMI. Pastinya kerajaan akan sentiasa bretanggungjawab dengan setiap kesan dan implikasi negatif akibat ketidakbijakan memutus keputusan.


Perlu disedari bahawa bahasa Inggeris bukan sahaja berfungsi sebagai alat komunikasi semata sebagaimana yang didakwa oleh pihak tertentu seperti Gabungan Penulis Nasional (GAPENA). Malah bahasa Inggeris telah melangkaui sempadan komunikasi. Bahasa Inggeris adalah bahasa global dan bahasa ilmu di abad ini. Mempelajari, bertutur, dan menggunakan bahasa Inggeris tidak boleh disamakan sebagai sebagai “masuk Inggeris” atau menjadi “orang Inggeris.” Sekiranya seseorang Melayu itu “masuk Inggeris” atau menjadi “orang Inggeris” setelah mempelajari, bertutur, dan menggunakan bahasa Inggeris dan tidak bahasa Melayu, maka bahasa Inggeris tidak boleh dipersalahkan. Yang harus dipersalahkan ialah seseorang Melayu yang telah “mudah lupa” itu.

Kerajaan seharusnya sedar bahawa perlaksanaan PPSMI bukannya satu kehendak atau ikutan tetapi ia merupakan satu keperluan yang diperlukan terutamanya orang Melayu dan bahasa Melayu. Abad ini adalah abad ilmu. Pemerolehan ilmu amat penting. Ilmu yang dianugerahkan oleh Allah Yang Maha Pemurah terbenam di dalam minda seluruh umat manusia tanpa mengira manusia itu orang Melayu atau orang Inggeris. Ilmu yang dianugerahkan ini hanya boleh dicari dan dirungkai melalui penerokaan ilmu. Mempelajari bahasa Inggeris adalah satu langkah ke hadapan dalam usaha penerokaan ilmu. Orang Barat dan orang Jepun walaupun tidak seagama dengan orang Melayu, tetapi kerajinan dan kesungguhan mereka mencari, merungkai, dan mengembang ilmu amat tinggi dan adakalanya di luar kebiasaan. Adakah orang Melayu juga sedemikian atau sebaliknya?

Di kalangan orang Melayu ada yang beranggapan bahawa Melayu itu Islam, Islam itu Melayu. Semua orang Melayu mengakui bahawa Islam amat mementingkan ilmu. Tetapi setakat manakah orang Melayu mementingkan ilmu? Dimanakah kesungguhan orang Melayu mencari, merungkai, dan mengembang Ilmu? Adakah orang Melayu setelah menuntut ilmu menggunakan ilmu yang dituntut itu dengan sehabis baik di dalam kehidupan seharian? Tidak gamak jika dikatakan bahawa orang Melayu sebenarnya kurang ilmu kesan dan akibat penyakit “malas” yang diidapi dan sentiasa bersikap cepat puas hati. Hanya melalui perlaksanaan PPSMI penguasaan ilmu di kalangan orang Melayu dapat dan boleh ditingkatkan.

Bagi kerajaan, langkah memansuh PPSMI, bahasa Melayu dapat dijadikan sebagai bahasa ilmu sekali gus memertabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang unggul sebagaimana bahasa Inggeris, Jerman, Perancis, dan sebagainya. Namun, kerajaan perlu sedar dan memahami secara realis bukannya ambiguiti, bahawa bahasa Melayu tidak akan menjadi bahasa ilmu apatah lagi bahasa yang unggul, seandainya orang Melayu sendiri tidak, atau kurang, atau malas berusaha mencari, merungkai, dan mengembang ilmu sebagaimana yang dilakukan oleh orang bangsa lain di dunia.

Seterusnya, bahasa Melayu tidak akan mencapai mertabatnya seandainya orang Melayu sendiri tidak ahli ilmu atau kurang ilmu. Hanya orang yang berilmu sahaja yang mampu menjadikan bahasa ibundanya sebagai bahasa ilmu dan bahasa yang unggul. Bagaimana pula tahap keahlian ilmu orang Melayu bertutur bahasa Melayu dengan betul, cantik, dan indah? Tiada gunanya Perlembagaan Persekutuan memertabatkan bahasa Melayu seandainya orang Melayu sendiri tidak memertabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa yang unggul.

Perlu diketengahkan juga, apakah tujuan sebenarnya bahasa Inggeris perlu, harus, dan mesti dipelajari? Adakah hanya untuk berkomunikasi semata? Atau kerana dunia sudah tanpa sempadan?

Seandainya bahasa Inggeris dipelajari hanya kerana untuk menjadikan kita berupaya berkomunikasi dengan bangsa lain, atau hanya untuk membolehkan kita bersaing di arena globalisasi, maka hasrat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa yang unggul akan malap. Mempelajari sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bukan hanya untuk memantap keupayaan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris semata, tetapi juga memantapkan usaha penerokaan ilmu disamping melengkapkan bahasa Melayu dengan ilmu agar bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu dan mencapai mertabat yang dicita-citakan itu.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.