Skip to main content

Liberalisasi ekonomi, Pemansuhan PPSMI, dan PRU-13

Kebarangkalianya, terdapat tiga perkara yang mungkin menghantui Dato’ Seri Najib Razak sebaik sahaja berjaya memulakan pelayaran mengharungi gelora ombak seratus hari yang penuh cabaran. Tiga perkara ini adalah kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB), desakan memansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), dan persediaan mengahadapi Pilihan Raya Umum-13 (PRU-13), setelah Umno/BN gagal mengekalkan 2/3 majoriti di Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum-12 (PRU-12).


Kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) mencapai objektifnya menyebabkan penguasaan ekonomi masyarakat Melayu/Bumiputera hanya mencapai 19.4 % ekuiti dalam masa 19 tahun. Sedangkan DEB menyasarkan 30 % ekuiti dalam masa 20 tahun. Manakala, Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak, walaupun menyasarkan 30 % ekuiti tetapi berpandangan bahawa mencapai ekuiti penguasaan ekonomi lebih daripada 30 % adalah lebih baik.

Pada 29 Jun 2009, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak telah mengumumkan penyusunan semula Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) dan penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas). Melalui penyusunan semula Jawatankuasa Pelaburan asing (FIC) dan penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), Dato’ Seri Najib berpandangan bahawa ekonomi negara dapat diliberalisasikan. Semasa Dato’ Seri Najib Razak mengumumkan penyusunan semula Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) dan penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), Dato’ Seri Najib Razak telah menetapkan 30% ekuiti Bumiputera dimansuhkan dan persaingan Bumiputera di atas padang percaturan ekonomi berasaskan merit.

Berikut merupakan daripada senarai berkaitan pemansuhan 30% ekuiti Bumiputera dan peningkatan had pegangan saham asing di bawah penyusunan semula Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC).

1. Syarat 30% ekuiti Bumiputera bagi Tawaran Awal Permulaan (IPO) ke atas syarikat tersenarai dimansuhkan.

2. Had pembelian harta oleh warga asing dinaikkan secara umum kepada RM500,000.00

3. Had pegangan saham asing untuk syarikat pengurusan unit amanah dan broker saham ditingkatkan kepada 70% daripada 49%.

Salah satu senarai yang berkaitan dengan penyertaan Bumiputera di dalam ekonomi di bawah penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) adalah:

1. Syarikat Bumiputera yang melabur melalui Ekuinas bersaing berasaskan merit.

Penyusunan semula Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) dan penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) adalah satu langkah yang pragmatik dan liberal. Tetapi apa yang agak mengecewakan adalah penidakkan terhadap kepentingan masyarakat Melayu/Bumiputera. Walaubagaimana pun, penidakkan ini diharap mampu mengubah set minda masyarakat Melayu/Bumiputera supaya bersifat progresif di dalam penyertaan ekonomi Negara. Semasa mengumumkan penyusunan semula Jawatankuasa Pelaburan asing (FIC) dan penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), Dato’ Seri Najib Razak tidak menjelaskan mengapa DEB gagal mencapai matlamatnya.

Namun, Menurut YM Profesor DiRaja Ungku Aziz, DEB, pada tahun 1969 keseluruhannya adalah untuk masyarakat Melayu/Bumiputera. Di tahun-tahun 70-an dan awal 80-an, pelaksanaan DEB benar-benar berlandaskan praktik dan realis yang telus sebagaimana yang dicitakan. Namun pada pertengahan tahun 80-an, DEB malap dari segi praktik dan realisnya. Ini adalah berpunca daripada penyelewengan, kroni, rasuah, salah laku, dan nepotisme. Penyelewengan-penyelewengan ini terus berlarutan sehingga ke tahun 90-an.

Liberalisasi ekonomi yang dilaksanakan di samping pemansuhan syarat 30% ekuiti Bumiputera bagi Tawaran Awal Permulaan (IPO) ke atas syarikat tersenarai pasti akan merobek hati dan perasaan orang Melayu/Bumiputera. Pada kemungkinan, golongan pendesak Melayu/Bumiputera tentu akan mendesak kerajaan supaya pemansuhan syarat 30% ekuiti Bumiputera bagi Tawaran Awal Permulaan (IPO) ke atas syarikat tersenarai dibatalkan dengan serta merta. Kegagalan kerajaan mahupun Dato’ Seri Najib Razak menuruti desakan golongan pendesak Melayu/Bumiputera pasti memberi kesan terhadap Umno/BN pada PRU-13 nanti.

Pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini mungkin dapat meredakan sedikit kemarahan golongan pendesak Melayu/Bumiputera. Namun, dalam konteks ekonomi dan bahasa Melayu, ekonomi lebih menonjol impkanya dari sudut politik tanah air dan antarabangsa jika dibandingkan dengan Bahasa Melayu yang walaupun menonjol impaknya dari sudut politik tanah air.

Impak ekonomi telah menunjukkan orang Melayu hanya mencapai kedudukan kelas dua di dalam stratifikasi sosio-ekonomi negara berikutan kegagalan DEB. Bahasa Melayu, walaupun dijamin kedudukannya di dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152), tetapi impak bahasa Melayu lebih menjurus kepada konteks perpaduan nasional ke arah pembentukan Bangsa Malaysia, tetapi tidak memberi kesan terhadap politik tanah air secara menyeluruh.

Pemansuhan PPSMI walau bagaimanapun pasti akan merugikan orang Melayu/Bumiputera terutamanya dalam konteks pemerolehan dan pengembangan ilmu. Hasrat kerajaan dan orang Melayu/Bumiputera untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu pasti akan menemui jalan buntu. Ini kerana, sesuatu bahasa memerlukan input ilmu yang besar supaya ia boleh mengalami proses pengembangan di samping dapat berfungsi secara teknikal dan spesifik. Namun, walaupun Bahasa Melayu dapat dijadikan bahasa ilmu tiada gunanya jika orang Melayu/Bumiputera sendiri tidak berilmu atau kurang ilmu.

Walaupun parti kerajaan yang memerintah (Umno/BN) berjaya membentuk kerajaan pusat selepas Pilihan Raya Umum-12 (PRU-12), tetapi ia gagal mengekalkan penguasaan 2/3 majoriti di Dewan Rakyat. Berikutan daripada kegagalan ini, pada kemungkinan penggubalan beberapa dasar nasional dan isu nasional semasa (seperti Bahasa Melayu dan PPSMI) akan dijadikan sebagai senjata permainan politik kerajaan yang memerintah.

Untuk berhadapan dengan PRU-13, parti kerajaan yang memerintah terpaksa melakukan tugas berat dalam masa 3 atau 4 tahun untuk memenangi hati nurani rakyat agar parti kerajaan yang memerintah mendapat akuan sokongan melalui kotak demokrasi. Oleh yang demikian ada kemungkinan dasar nasional dan isu nasional semasa akan dijadikan taruhan untuk memenangi hati rakyat tetapi pada yang sama digunakan untuk memerangi parti politik pembangkang secara perang saraf.

Pemansuhan syarat 30% ekuiti Bumiputera bagi Tawaran Awal Permulaan (IPO) ke atas syarikat tersenarai sudah tentu mengecewakan orang Melayu dan kerajaan yang memerintah tentunya sudah sedia maklum dengan kekecewaan ini. Bagi mengubati kekecewaan ini, kerajaan yang memerintah kemudiannya memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Apabila pemansuhannya diumumkan ke serata negara, maka rakyat akan berpandangan kerajaan yang memerintah telah mengambil berat isu yang diangkat oleh rakyat sebagai isu nasional. Maka dengan sedemikian, rakyat berpandangan bahawa mereka harus memberi mandat kepada parti kerajaan yang memerintah pada PRU-13.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.