Skip to main content

"Periuk api" BN mengena?

Tidak dapat dibuktikan secara empirikal sama ada Pakatan Rakyat (PR) mampu mempertahankan negeri-negeri yang dikuasainya pada selepas Pilihan Raya Umum 12 (PRU12). Akan kemungkinan PR bakal kehilangan satu atau dua negeri dalam jangka masa yang tidak dapat dipastikan sebagaimana ia kehilangan negeri Perak baru-baru ini. Walaupun pada kemungkinan PR mampu mempertahankan negeri-negeri yang dikuasainya, akan kemungkinan juga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di negeri-negeri yang dikuasainya akan menjadi berkurangan.


Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan yang memerintah telah menginjak 35 tahun usia pemerintahannya. Setiap kali pilihanraya berlangsung BN sentiasa dipangkah oleh rakyat kerana rakyat telah disaji janji dengan pembelaan nasib dan pembangunan rakyat. Maka, rakyat tanpa berfikir panjang dan tanpa praduga memberi kuasa dan kemenangan kepada BN agar terus memerintah atas nama negara, bangsa, dan agama. kecelakaan sentiasa tidak berbau. BN sebagai kerajaan yang memerintah tidak dapat menunai semua janji yang telah disaji sewaktu kempen pilihanraya atas faktor tertentu. Rakyat hampa dan beralih pangkah.

Apabila rakyat beralih pangkah yakni memilih Pakatan Rakyat (PKR-PAS-DAP) pada pilihanraya terutamanya pilihanraya umum, rakyat berharap dan mengharapkan apa yang pernah disaji janji oleh BN dapat diterjemah dan dijelmakan oleh PR sehingga menjadi realiti dan bukannya fantasi. Namun kecelakaan tetap tidak berbau. PR tidak juga dapat merealitikan apa yang diharapkan. Rakyat hampa, kecewa, dan duka nestapa.

Setelah hampa, kecewa, dan duka nestapa, rakyat memasang tekad dan nekad untuk tidak memilih sama ada BN atau PR pada pilihanraya. Namun, apabila BN sebagai kerajaan yang memerintah berfirasat bahawa rakyat bertekad dan nekad untuk tidak memilih, rakyat segera didengung dan didendangkan dengan dongdang “… marilah mari, mari mengundi, tunaikan kewajiban kepada negara…” Rakyat pun terbuai indah dengan dondang yang didengung dan didendangkan itu. Maka berbuahlah pisang secara infiniti.

Berdasarkan perbandingan kasar, BN dan PR boleh diibaratkan bak “durian kunyit” dan “timun.” BN memiliki aset dan liabiliti yang tidak tertakrif nilainya, manakala PR pula sebaliknya. Jikalau ada memiliki aset dan liabiliti sekalipun, namun tidaklah seberapa. Maka dapat disimpulkan secara mudah bahawa BN sememangnya mampu dan berupaya menunaikan dan mengotakan janji yang telah disajikan kepada rakyat. Meskipun BN tidak mampu menghujankan rakyat dengan “hujan emas,” cukuplah dengan sekadar meringankan beban rakyat dan menangani semua isu rakyat yang sememangnya sudah lapuk. Sekiranya demikian, tentulah rakyat akan terus memberi mandat. Alangkah moleknya…

Isu rakyat (yang tidak pernah diselesaikan oleh BN) mungkin boleh dijadikan asas utama yang menyumbang kepada kehakisan hegomoni politik PR di negeri-negeri dan kawasan DUN, dan Parlimen yang dikuasainya. Isu rakyat seperti kemiskinan, petempatan, pengangkutan, harga barangan pengguna, dan sebagainya merupakan isu yang sering dikupas dan dipolemikkan di pentas-pentas forum arus perdana tetapi masih lagi menjadi isu yang berlarutan. Apakah yang menyebabkan isu rakyat ini berlarutan sehingga gagal ditangani? Adakah isu rakyat ini disengajawujudkan, terutamanya oleh BN? Atau ianya sememangnya wujud? Adakah isu rakyat ini disengajawujudkan untuk difungsikan sebagi “periuk api” supaya hegomoni politik PR kudung dan puntung?

Negeri-negeri, DUN, dan Parlimen yang dikuasai oleh PR (selepas gelombang tsunami politik melanda) seperti Pulau Pinang, Kedah , Selangor, dan Perak (Perak berjaya dirampas semula oleh BN), sebelumnya dikuasai oleh BN. Semasa dibawah penguasaan BN, isu rakyat seperti kemiskinan, petempatan, dan sebagainya masih lagi timbul. Walaupun mengikut data Malaysia: Kadar Kemiskinan 2004, Selangor dan Pulau Pinang merupakan negeri yang terendah kadar kemiskinannya; Selangor 1.0% dan Pulau Pinang 0.3 %, isu rakyat masih lagi menjadi persoalan pokok dan tidak ditangani oleh kerajaan BN dengan sehabis baik. Sekiranya kerajaan BN menangani isu rakyat dengan sehabis baik di kedua-dua negeri ini, amat mustahil rakyat di kedua-dua negeri ini menidakkan BN pada PRU12 lalu.

Apabila PR berjaya membentuk kerajaan di kedua-dua negeri ini selepas PRU12, PR pastinya akan berhadapan dengan hal dan perkara yang sama yakni isu rakyat (kemiskinan, petempatan, dan sebagainya). Walaupun PR dominan sebagai pembangkang, tetapi dari segi pemilikan aset dan liabiliti tidaklah sedominan BN. Isu rakyat ini memerlukan penyelesaian sama ada atas kertas atau atas budi bicara, dan juga perlu disulami dengan keupayaan dana atau modal yang besar. PR pada realitinya tidak memiliki dana atau modal yang mencukupi walaupun mempunyai kekuatan dari segi penyelesaian atas kertas dan budi bicara. Tetapi itu masih tidak memadai sekiranya PR tidak memiliki kekuatan dana atau modal. Maka isu rakyat akan tetap dengan status “keep in view.” Maka secara langusung atau tidak langsung, keberkesanan PR sebagai pembela masalah rakyat akan diragui oleh rakyat. Ini akan menyukarkan PR memperkukuh tunjang kehegomonian politiknya.

Apabila BN melihat dengan jelas ketidakupayaan PR mencari jalan penyelesaian dan pendekatan mapan di dalam menyelesaikan isu rakyat, sama ada di Selangor, Pulau Pinang, dan Kedah, atau Kelantan, maka PR akan berhadapan dengan kesukaran mempertahan kehegomonian politiknya, lebih-lebih lagi jika bahang pilihanraya semakin panas. BN tanpa teragak-agak tentu akan memainkan sentimen ketidakupayaan PR membela rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat di rapat-rapat umum politiknya. Hal ini pasti mengubah pola keyakinan rakyat terhadap keupyaan dan kemampuan PR yang sebenar. Melainkan rakyat secara terperinci atau secara dasar memahami dengan jelas ilmu, hukum, percaturan, dan permainan politik apatah lagi taktik atau strategi “periuk api.”

Isu Kampung Buah Pala yang timbul di Pulau Pinang baru-baru ini boleh dijadikan satu contoh kes strategi atau taktik “periuk api” yang digunapakai oleh BN untuk melumpuhkan kehegomonian politik PR di Pulau Pinang, di samping cubaan mengimbangi pola perolehan suara rakyat sebagai persediaan menghadapi pilihanraya teutamanya PRU13. umum mengetahui bahawa Pulau Pinang berada lama di bawah pentadbiran kerajaan BN. Agak mustahil Pulau Pinang dengan kadar kemiskinannya yang terendah masih lagi timbul dengan hal dan isu rakyat yang paling asas, yang mana masih tidak dapat diselesaikan sehinggalah ke hari ini. Bukankah BN “perkasa” dalam semua segi dan serba-serbi?

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.