Skip to main content

Apabila pembaziran dikatakan berhemah

Malaysia adalah sebuah negara yang baru mengalami transformasi kemajuan atau dengan kata lain baru mula melangkah ke arah kemajuan. Tahun 2020 telah dijadikan sasaran Malaysia sebagai negara maju. Mana-mana negara yang baru mula melangkah ke arah kemajuan, tahap kewangan negara tersebut tidaklah setahap dengan tahap kewangan negara maju atau negara kaya. Malaysia umpamanya telah menunjukkan langkah agresif ke arah menjadi negara maju, tahap kewangannya tidaklah berapa baik walaupun Perdana Menterinya kaya raya dan bangga mengaku “anak saya kaya.”


Prestasi kewangan kerajaan Malaysia walaupun tidak sebaik negara maju atau negara kaya, kerajaan Malaysia sentiasa memastikan rekod kewangannya berada dalam keadaan equilibrium yakni tidak mempunyai lebihan dan defisit yang ekstrim. Kerajaan Malaysia sewaktu di bawah pentadbiran (Tun) Dr. Mahathir Mohammad, langkah penjimatan dan mengelakkan pembaziran wang negara yang tidak masuk akal sering diutamakan walaupun adakalanya terpaksa “mengeringkan” saku negara dengan projek mega asalkan menguntungkan rakyat dan negara sama ada jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

Namun sejak kerajaan Malaysia di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi, kerajaan kini dilihat banyak melakukan pembaziran wang yang disifatkan sebagai tidak masuk akal. Pembaziran wang yang dilakukan kerajaan PM Abdullah bukan sahaja boleh mengeringkan “saku” negara malah rakyat dan negara. Apabila pembaziran dianggap sebagai berhemah maka pembaziran yang jelas dibuat dihalalkan dan dianggap sebagai sesuatu yang boleh mendatangkan faedah.
 
Pembaziran yang dianggap berhemah oleh PM Abdullah mencapai puncak gemilang, cemerlang, dan terbilang apabila Petrolium Nasional Berhad (PETRONAS) membelanjakan sebanyak RM 300.000.00 untuk mengubah lokasi Forum Group Health, Safety and Ennvironment (HSE) dari Cape Town Afrika Selatan ke Kuala Lumpur. Pembaziran yang dianggap berhemah ini dikukuhkan lagi oleh PM Abdullah dengan alasan-alasan yang bersifat “hemah.”

“Dalam hal ini, walaupun keputusan menukar lokasi itu menyebabkan Pteronas menanggung sejumlah kerugian, ia masih menjimatkan berbanding dengan kos sekiranya forum berkenaan diadakan di Afrika Selatan.”

“Namun selepas mengambil kira keadaan ekonomi dunia semasa dan seruan kerajaan supaya mengambil langkah berhemah, Petronas membuat keputusan untuk mengadakan forum itu di Malaysia.”

Daripada sudut pandang peniagaan dan perdagangan, Petronas adalah syarikat minyak negara yang kini diswastakan. Namun sebelum Peronas diswastakan oleh kerajaan, Petronas adalah milik negara. Milik negara bermakna milik rakyat kerana sewaktu penubuhan Petronas, wang yang digunakan untuk menjayakan penubuhan Petronas adalah wang rakyat yang selalu disinonimkan dengan “wang negara.”
 
Rakyat, tanpa mengira miskin atau kaya tetap akan membayar cukai dalam bentuk nilai wang sama ada melalui cukai secara langsung atau cukai secara tidak langsung. Cukai yang dikenakan oleh kerajaan ini hendaklah dijelaskan apabila Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membuat taksiran pungutan cukai. Rakyat yang gagal membayar cukai kepada LHDN terutamanya cukai pendapatan akan dikenakan tindakan undang-undang atau diancam dengan hukuman penjara.
 
Dalam konteks negara moden, negara bukanlah milik mutlak raja atau ratu atau Perdana Menteri yang memerintah tetapi milik bersama yakni milik pemerintah dan yang diperintah. Rakyat membayar cukai kepada kerajaan bukan kerana semata-mata menuruti undang-undang kerajaan memerintah tetapi berdasarkan kefahaman “kemaslahatan umum” yakni kemaslahatan bersama pemerintah dan diperintah. Oleh yang demikian setiap perbelanjaan kerajaan melalui institusi dan organisasi yang berada dibawah kelolaannya yang menggunakan wang kerajaan atau wang rakyat tidak boleh membelakangi mana-mana pihak terutamanya rakyat.
 
Dan sekiranya kerajaan yang memerintah ingin membelanjakan wang kerajaan atau wang rakyat, maka kerajaan yang memerintah perlu mengambil kira kesan dan akibat sebelum ditimpa masalah yang mana akhirnya membawa kepada kerugian. Jika kerajaan yang memerintah tidak mengambil kira akan kesan dan akibat dikemudiannya, maka kerajaan yang memerintah sudah dan telah gagal melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat dan rakyat telah dipermainkan. Apabila pembaziran dianggap berhemah tidak mustahil pada suatu masa nanti akan berlaku kebocoran “saku” negara yang mana akhirnya rakyat menjadi papa kedana.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.