Skip to main content

Kerajaan Malaysia membohongi dunia?

Berdasarkan fakta dan data mahupun sejarah, Malaysia merupakan sebuah negara yang stabil dari segi makro mahupun mikro. Kestabilan makro dan mikro yang dinikmati oleh Malaysia melonjakkan nama Malaysia di mata dunia dan menjadi contoh dan ikutan negara-negara maju, negara-negara membangun, dan negara-negara mundur. Namun pada realitinya, Malaysia bukanlah negara yang stabil sebagaimana “data dan fakta makro-mikro kestabilan” yang difaktakan, dan didatakan. Malaysia dari segi makro mungkin stabil, namun dari segi mikro Malaysia tidak stabil dimana keadaan mikro sentiasa turun-naik tetapi dianggap sebagai stabil oleh kerajaan Malaysia.


Unsur kestabilan mikro Malaysia adalah merujuk kepada elemen-elemen dalaman utama Malaysia iaitu politik, ekonomi, dan sosial. Keadaan politik di Malaysia sebenarnya tidak stabil walaupun kerajaan pimpinan Perdana Menteri Abdullah menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang stabil dari segi politik. Dunia hanya melihat pada fakta dan data serta propaganda yang disebarkan luaskan oleh apparatus kerajaan yang memerintah. Apparatus kerajaan yang memerintah adalah merujuk kepada Kementerian Luar Negeri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, kementerian Pelancongan, dan kementerian-kementerian lain yang berperanan sebagai “sebar-luas propaganda” seperti Kementerian Pelajaran.

Ketercalaran kestabilan politik dan kecelaruan politik di Malaysia mencapai puncak gemilang, cemerlang, dan terbilang pada Pilihan Raya Umum 12 lalu. Umno/BN yang membentuk kerajaan dan memerintah selama 50 tahun mencapai klimaks “kecalaran” apabila Malaysia dilanda badai tsunami politik pada 8 Mac 2008. Kesan daripada itu, parti yang memerintah yakni Umno/BN menganggap tahun 2008 sebagai tahun “malapetaka politik.” Keadaan politik di Malaysia bertambah parah apabila Parti Pembangkang yang membentuk Pakatan Rakyat telah mula menunjukkan kejayaan politik walaupun tidak gemilang, cemerlang, dan terbilang. Kejayaan politik Pakatan Rakyat berjaya mengubah pola kestabilan politik di Malaysia.

Kestabilan politik di Malaysia bertambah tenat apabila kerajaan pimpinan PM Abdullah gagal memahami apa yang diinginkan rakyat, walaupun PM Abdullah sering “mendengungkan” mantera “bekerjalah bersama-sama saya tetapi bukan untuk saya.” Disamping itu, pergeseran politik setiasa berlaku sama ada pergeseran Umno/BN dengan Umno/BN, Umno/BN dengan Pakatan Rakyat, dan Pakatan Rakyat dengan Pakatan Rakyat. Pergeseran “inter-party” dan intra-party” bukan sahaja berlaku di gelanggan Dewan Rakyat malah di media-media utama. Kesan pergeseran animal politics ini sudah tentu memberi dampak kepada rakyat dan boleh jadi pada masa akan datang rakyat mungkin akan hilang percaya terhadap sistem berpolitik. Sekiranya rakyat sudah hilang percaya kepada sistem berpolitik, prestasi kestabilan politik di Malaysia pasti merudum dan Malaysia sudah tidak layak dianggap sebagai negara yang politknya stabil.

Sudah jelas keadaan politk di Malaysia sudah tidak berapa stabil selaps 8 Mac 2008 tetapi ramai pihak terutamanya yang pihak yang berada dibawah kerajaan PM Abdullah sering menyifatkan Malaysia stabil dari segi politik dan perlu dicontohi oleh negara-negara lain di dunia. Apa yang perlu kerajaan PM Abdullah lakukan ialah berterus-terang kepada dunia tentang keadaan kestabilan sebenar politik di Malaysia. Tidak menjadi satu kesalahan sekiranya PM Abdullah mengatakan kepada dunia “kestabilan politik di Malaysia merudum selepas PRU 12, 8 Mac 2008 lalu, kerana rakyat Malaysia gagal memahami mantera saya “bekerjalah bersama-sama saya tetapi bukan untuk saya.”

Peristiwa 8 Mac 2008 bukan sahaja menyebabkan kestabilan politik di Malaysia tergugat tetapi memberi kesan “gerun” terhadap kestabilan ekonomi Malaysia. Apabila PRU 12 tamat dan situasi prestasi kerajaan PM Abdullah “pecah tembelang,” pelabur-pelabur asing mulai bimbang akan keadaan Malaysia dan akan kemungkinan yang tidak dapat dielak oleh Malaysia dalam masa terdekat ini. Selesai sahaja PRU 12, Malaysia dilanda badai kenaikan harga minyak yang drastik sehingga kerajaan PM Abdullah terpaksa meringankan beban rakyat dengan pendekatan-pendekatan yang belum terbukti kejayaannya.

Seterusnya, prestasi pasaran saham di Malaysia jatuh dengan mendadak sekali gus merangsang kelembapan ekonomi. Kelembapan ekonomi yang dialami Malaysia bukan sahaja merisaukan pelabur-pelabur asing malah rakyatnya.Kadar inflasi di Malaysia kini mencecah angka lebih daripada 5 %, dibawah 9 %. Keadaan inflasi yang menggerunkan ini sudah pasti menghambat Malaysia kepada “kesakitan ekonomi.”

Pada realitinya, keadaan ekonomi Malaysia berada dalam keadaan yang tenat. Dari segi pola penguasaan ekonomi, kaum Cina menguasai sebanyak 40 %, kaum Melayu/Bumiputera 18 %, kaum India 1.5 % manakala pelabur asing menguasai sebanyak 40.5 %. Walaupun penguasaan ekonomi tertinggi adalah kaum Cina dan terendah adalah kaum India, namun dari segi pola kuasa beli, kaum Cina dan India mempunyai kuasa beli yang tinggi jika dibandingkan dengan kuasa beli kaum Melayu dan Bumiputera.

Keadaan ekonomi di Malaysia boleh disifatkan sebagai stabil sekiranya ketiga-tiga kaum majoriti ini menguasai ekonomi secara sama rata dan sama rasa iaitu 29.75 % setiap kaum. Namun diatas papan catur ekonomi moden, kesungguhan dan keinginan satu-satu kaum untuk menjadi aktor atau pemain kapitalis bergantung pada setakat mana usaha ekonomi yang dicurahkan. Namun dalam sistem ekonomi moden, terdapat juga pemain ekonomi yang "main belakang" bersama-sama aktor-aktor kerajaan yang memerintah agar visi dan misi kapitalis dapat dicapai walaupun dengan cara "Nicolo Machiavelli." Manakala kaum yang memilih untuk menjadi "sosialis" dari segi penyertaan ekonomi akan tersungkur diatas padang tempur ekonomi moden yang penuh dengan aktor dan pemain ekonomi "profesional lagi licik." Walau bagaimanapun, jika kerajaan Malaysia ingin membohongi dunia tentang keadaan sebenar ekonomi Malaysia, dunia tidak kisah kerana dunia sedia maklum dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu. Lagipun negara-negara yang ingin progresif didalam industri ekonomi, satu-satu negara boleh membohong dunia dengan fakta dan data ekonomi untuk sementara waktu agar dapat menarik pelaburan asing.

Sebelum berlakunya peristiwa 8 Mac 2008, sudah wujud benih-benih resah yang berbaur perkauman sehingga menimbulkan provokasi terhadap kaum lain. Hindraf (sebagai mewakili kaum India) umpamanya memilih untuk mengadakan perhimpunan haram sebagai memprotes kegagalan kerajaan PM Abdullah membela nasib dan hak asasi kaum India di negara ini. Akibatnya seorang Menteri PM Abdullah tersungkur pada peristiwa 8 Mac. Pertengahan tahun 2008 kepaduan kaum di Malaysia mula goyah apabila hak ketuanan dipertikai dan dipolemikkan oleh pihak-pihak pluralis. Tindakan pihak-pihak pluralis ini akhirnya memicu kemarahan "sang tuan" di bumi bertuah ini. Struktur sosial di Malaysia saban hari meresahkan apabila wujudnya cabar-mencabar demi hak sebagai Rakyat Malaysia. Manakala pemimpin-pemimpin politik tersohor yang juga aktor-aktor kerajaan yang memerintah lebih memilih cara sopan santun untuk menyelesaikan masalah agar peristiwa berdarah 13 Mei 1969 tidak berulang kembali.

Realitinya sejak Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri Malaysia, kestabilan Malaysia mulai goyah. Ini adalah disebabkan oleh kepimpinan PM Abdullah yang lemah dan gagal mencari penyelesaian yang ampuh. Walaupun usaha dan pendekatan penyelesaian diambil untuk menyelesaikan maslah yang saling bersangkut-paut dengan kestabilan yakni politik, ekonomi, dan sosial, pendekatan penyelesaian agak dangkal dan jahil. Untuk mengelakkan nama baik Malaysia yang sentiasa dikenali kerana kestabilannya, kerajaan PM Abdullah dan apparatus kerajaannya perlu dan harus jujur dengan dunia terutamanya tentang perkara sebenar yang berkaitan dengan kestabilan Malaysia.

Comments

Primus inter pares

Kebebasan bersuara sebenar di Malaysia

Perdebatan yang berlaku di antara Menteri Penerangan Dato' Shabery Chik dengan penasihat de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini boleh dilihat sebagai satu "test case" terhadap nasib kebebasan bersuara di Malaysia, tanpa dicampuri tangan-tangan senyap kerajaan pemerintah.

Nasi lemak dan obesiti di kalangan pelajar

" Nasi lemak mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberi zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat." - Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Nasi lemak adalah antara makanan yang berkalori tinggi. Satu hidangan lengkap nasi lemak mengandungi 644 kalori. Walaupun nasi lemak merupakan antara makanan yang tinggi kandungan kalorinya, nasi lemak bukanlah penyumbang utama kepada obesiti tetapi nasi lemak adalah antara penyumbang kepada obesiti. Oleh hal yang demikian nasi lemak tidak boleh diperslahkan jika di kalangan pelajar sekolah rata-ratanya obes.

Malaysia-Indonesia: Keserumpunan budaya

Malaysia dan Indonesia merupakan negara yang mana masyarakat marhaen pribuminya berasal daripada rumpun yang satu. Sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia, masyarakat marhaen pribuminya bebas bergerak dan menetap di mana-mana saja ceruk gugusan alam kepulauan Melayu tanpa sekatan. Masyarakat Melayu Malaysia kebanyakannya berdarah Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau, Aceh dan sebagainya. Jawa, Bugis, Banjar, Minangkabau dan Aceh berasal daripada salah satu daerah gugusan alam kepulauan Melayu yang kini dikenali sebagai Indonesia.